Pada tahun 1650, Sheikh Abdul Malik telah dilahirkan di
Kampung Pauh, Kuala Berang. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif
Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu.
Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku
Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan
Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah
s.a.w.
Kehidupan Sheikh Abdul Malik di istana adalah juga
merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat
pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati
dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang
merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar
di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan
beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu
berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan
tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya
dan melakukan ibadat. Hasil dari sifat-sifatnya yang mulia dan daya
intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi
seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat
dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan
kepimpinan.
Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari
kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik,
dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi
sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau
mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan
ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh
penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula
oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama
pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui
pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya.
Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya
dan juga ulama tempatan, Sheikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya
belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai
Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga
tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah.
Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar
ke Aceh bersama dengan sahabat-sahbatnya. Di sana, Sheikh Abdul Malik telah
berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok
Shaikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.
Apabila Shaikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang
telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh
dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaiah oleh Sheikh Abdul Malik dengan
tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga
muridnya yang lain iaitu Shaikh Yusuf Khalawati al-Mankatsi dari Bugis Makasar,
Shaikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Shaikh Burhanuddin Ulakkan
dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai
beberapa maqam padanya. Akhirnya, Sheikh Abdul Malik telah dilantik sebagai
khalifah tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di
Terengganu apabila pulang ke negerinya.
Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Shaikh Abdul
Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu,
Sheikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya
di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang
sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di
Mekah, Sheikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah
seorang darinya ialah Shaikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada
Shaikh Abdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Shaikh Ahmad Qusyasyi.
Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Shaikh Ibrahim al-Kurani
telah kembali ke RahmatuLlah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai
tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut
bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syeikh Abdul Malik kembali ke
tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Sheikh Abdul Malik
telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan
diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat
yang bakal dipikulnya makin hampir.
Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya
telah menjodohkan Sheikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang
pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya telah menetap
di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila.
Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke
istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih
sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan
yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki
iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak
perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok
Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal
Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas
kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.
Setelah ayahandanya mangkat, Sheikh Abdul Malik telah
dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima
tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang
diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang
terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk.
Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah
telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan
memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk
mencari pengganti dirinya.
Setelah itu, Sheikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan
para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun takhta dan menggantikannya
dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan
juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Sheikh Abdul Malik.
Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Sheikh Abdul
Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal
dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya
terus memerintah di Terengganu.
Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak
menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan tarekat Shatariah.
Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Shaikh tarekat Shatariah
dan telah diizinkan untuk membaiah dan membimbing suluk para muridnya.
Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan
menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada
dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin
bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya,
murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat
berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada
serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada
rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.
Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M/ 1149 H, Tok Pulau Manis
telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau
Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan
Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi
jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya
disembahyangkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makan
dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan
Zainal Abidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan
diletakkan batu bereluk di sekelilingnya.
No comments:
Post a Comment